Monday 15 April 2013

Tangisan Di Hujung Galaksi

Pengaruh lagu M.Nasir telah memainkan peranan dalam memberi idea awal saya untuk blog ini.
Album terakhir beliau setakat ini, "Sang Pencinta" walaupun tidak begitu popular namun tidak lepas daripada memberi makna tersirat dalam setiap lagunya.

Itulah M.Nasir, generasi baru mungkin kurang mengenali dan meninati beliau. Ramai yang memanggilnya sifu terkenal dengan masterpiece yang kritis dan kreatif dalam penghasilan lagu yang bermutu. Gandingan beliau bersama arwah Loloq bukan setakat menghasilkan lagu untuk hiburan semata-mata malah meninggalkan persoalan kepada para pendengar untuk mengkaji sesuatu tersirat disebalik setiap isi lagu mereka.


"Tangisan Di Hujung Galaksi" adalah salah satu lagu terbaru yang menarik pemikiran saya untuk meneliti apa yang ingin disampaikan oleh sifu M.Nasir. Kebiasaannya, membuat tafsiran mengenai lagu sifu bukannya satu kerja yang mudah. Kata-kata beliau yang sungguh mendalam dan memang sentiasa mencabar fikiran untuk mencari maksud yang ingin disampaikan.

Saya tertarik dengan lagu ini meskipun tidak memahami maksud tersirat beliau. Mungkin kerana gabungan muziknya yang kreatif dan bagi saya menyentuh hati. Saya dapat rasakan bahawa lagu ini berunsur ketuhanan.

Apa yang saya tafsirkan bahawa "Bumi" yang dimaksudkan dalam lagu ini adalah Tuhan yang Esa. Tangisan Di Hujung Galaksi menggambar tangisan hamba tuhan di satu sudut alam semesta yang dipanggil Bumi.

berawan lara berlangit pilu
bernafas dukacita
bergelut pasrah bermimpi rindu
berteman sengsara
tak terucap segala gelisah
mohonmu berteman
biar pecah kesunyian 

Rangkap ini menunjukkan manusia yang gelisah dan tidak tenang dalam kehidupan dunia yang penuh dengan pancaroba dan tipu daya.


iramamu sepi menagih kekasih
kiranya kau puas biarpun sebentar
tak pernah harapkan cintamu berbalas
biar pun hanya
sekalung pujian atau sepatah kalimah 

Rangkap ke-2 lagu memaksudkan betapa besarnya rahmat dan ehsan tuhan. Meskipun dengan hanya sekalung pujian, sepatah kalimah dan sedetik masa kita untuk-Nya sudah diberi satu kenikmatan untuk hidup di dunia.

suci kau nyawa
suci terpuja
membelai rasa sehingga leka
semua hati terlupa
pada kau bernama bumi
Rangkap terakhir lagu menunjukkan sifat sebenar manusia. Apabila rahmat dan kasih tuhan itu tidak menjadi mereka semakin dekat dgn Ilahi sebaliknya manusia itu akhirnya leka dan melupai kepada zat pencipta alam ini iaitu Allah S.W.T. Jelas "bumi" yang dimaksudkan dalam lagu ini merujuk kepada tuhan yang Esa.
Nah, terbukti lagu M.Nasir bukan sekadar lagu hiburan. Tapi, lagu yang penuh misteri yang mesti dirungkai bagi menjawab persoalan yang beliau ingin sampaikan. Itulah masterpiece dalam dunia seni.
Tangisan Di Hujung Galaksi tiada siapa dengari melainkan tuhan yang abadi.
Kita hidup di penghujung galaksi sebuah tempat yang misteri dijadikan khusus untuk kehidupan insani.



No comments:

Post a Comment