Sunday 21 April 2013

[Sejarah] : Pilihanraya Umum 1959.

 SUMBER : Anak Apak karya Subky Abd Latif

20 April 2013 sudah berlalu sudah. Penamaan calon-calon yang akan bertanding berlalu dengan tenang. Meskipun ada sedikit keributan dibeberapa kerusi namun boleh dikatakan tiada persoalan dan masalah sangat yang dilalui oleh kedua-dua belah pihak.

5 April 2013 akan datang, berlangsungnya PRU-13 untuk semua rakyat Malaysia. Bertemakan "Ini kalilah", PRU pada kali ini dilihat peluang yang cerah untuk Pakatan Rakyat untuk menukar kerajaan Malaysia yang sudah ditadbir oleh Barisan Nasional hampir 56 tahun.

56 tahun hidup rakyat Malaysia dibawah pemerintahan barisan yang dahulunya dikenali sebagai Perikatan saya lihat masih tidak ada perubahan besar yang menjamin ketamadunan masyarakat. Ya, benarlah kita dikira sebagai antara negara yang sedang membangun. Boleh dikatakan moden dengan kehadiran pelbagai sistem dan teknologi terkini. Namun, pada saya ianya sekadar satu topeng untuk menutup segala ketirisan dan kronisme yang berlaku dalam kalangan pemimpin negara kita. 



Sejarah PRU pertama negara adalah satu peristiwa yang saya kira agak menarik untuk berkongsi dengan para pembaca. Pasti kalian berasa hairan, kenapa pula PRU pertama 1959 ? Bukankah 1955 ?
Ya. saya sedari kalian pasti masih mengingat fakta-fakta sejarah yang dipelajari dahulu. 27 Julai 1955 merupakan Pilihanraya pertama yang dilalui oleh rakyat Malaya pada masa itu. Namun ianya tidak dikira sebagai pilihanraya umum. Kenapa ?

Kerana hanya 52 kerusi yang kita masuk bertanding. Dan calon-calon yang menang hanya mengisi beberapa kabinet dalam kerajaan. Selebihnya dipilih sendiri oleh penjajah British ketika itu. Maka, ianya tidak dikira pilihanraya UMUM yang pertama namun ianya tetap disebut pilihanraya pertama negara Malaya.

PRU 1959 tidak diadakan serentak disetiap negeri. Ianya diadakan secara berperingkat dengan menjelajah satu negeri demi satu negeri. Dimulai dengan negeri Perlis dan dibuat pusingan secara U lalu pilihanraya berakhir di negeri Kelantan. Dan pilihanraya ini juga dimulai dengan pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri dari negeri ke negeri dan berakhir di Kelantan. Kemudian, disambung pula dengan pemilihan Ahli Parlimen juga mengikut urutan yang sama, bermula dari negeri Perlis dan berakhir di negeri Kelantan. Kaedah pilihanraya sebegini juga dipakai ketika pilihanraya 1955 dan 1959 merupakan tahun kali terakhir kaedah ini digunakan. Pilihanraya berikutnya diadakan serentak seluruh negara.

3 bulan sebelum PRU 1959. Tunku Abd Rahman telah meletakkan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri Malaya bagi memungkin beliau menjelajah ke seluruh negara, mengerah tenaga untuk UMNO dan Perikatan bagi menghadapi pilihanraya nanti. Beliau tidak menggunakan kemudahan sebagai PM untuk melakukan kerja-kerja parti. Jawatan Perdana Menteri ketika itu telah dipangku oleh Tun Abd Razak.

Dalam PRU kali ini, tumpuan diberikan kepada Dr Burhanuddin Al-Hilmy dan Parti Islam Semalaya (PAS). Ramai melihat PAS mampu menjadi pencabar utama kepada Perikatan. Manakala, Dr Burhanuddin pula adalah satu nama yang mempunyai pengaruh yang sangat besar. Nama yang gagal untuk digerhanakan oleh UMNO pimpinan Dato' Onn suatu ketika dahulu. Selain PAS, pilihanraya ini juga turut disertai oleh Parti Rakyat yang bergabung dengan Parti Buruh dan menggunakan nama Barisan Socialis serta Parti Negara pimpinan Dato Onn Jaafar.

Tumpuan seluruh negara pada Perlis untuk kerusi DUN. Adakah PAS mampu menggerhanakan Perikatan ? Jangkaan ramai bahawa PAS akan memberi saingan yang sengit disetiap negeri. Namun, ternyata Perikatan bukan sebarang parti yang berjaya menyapu bersih kerusi DUN di Perlis. Ramai yang terkejut kerana diluar jangkaan mereka.

Tumpuan beralih ke Kedah. Dengan kehadiran pondok-pondok agama yang banyak di Kedah maka mungkin ada sedikit persaingan di negeri tersebut. Jangkaan tersebut meleset, semuanya bersih disapu oleh Perikatan. Negeri Tunku Abd Rahman memang kebal dari pengaruh pihak lawan.

Beralih pada negeri Pulau Pinang, ramai yang sudah tidak menaruh harapan besar. Namun, beberapa kerusi DUN di Pulau Pinang berjaya dimenangi oleh Barisan Socialis dan selebihnya masih dimenangi oleh Perikatan.

Harapan PAS terletak di negeri Perak. Sebagai negeri kelahiran Dr Burhanuddin Al-Hilmy dan kelahiran PAS. Ditambah pula ramai pimpinan PAS ketika itu berasal dari Perak. Maka, masing-masing berharap PAS mampu menawan negeri tersebut. Keputusannya ? PAS sekali lagi kecundang di Perak. Hanya satu kerusi yang berjaya dimenangi oleh PAS iaitu DUN Gunung Semanggol.

Akhirnya tiada harapan sangat yang diberikan kepada PAS dan lain-lain parti untuk negeri-negeri seterusnya. Negeri kelahiran PAS pun mengalami kekalahan teruk. Maka, apa yang nak diharapkan di negeri lain. Jangkaan itu tepat, Perikatan berjaya menyapu bersih kerusi di Selangor. Begitu juga di Negeri Sembilan dan Melaka. Perikatan menang besar. PAS, Parti Negara dan Barisan Socialis tiada menang sebarang kerusi.

Apabila pilihanraya beralih ke negeri Johor. Tumpuan segara beralih ke Johor untuk melihat adakah Dato Onn Jaafar mampu menawan negeri kelahirannya. Akhirnya, Dato Onn bukan setakat mengalami kekalahan malah negeri Johor telah menjadi kubu kuat UMNO sejak itu. Tiada satu kerusi pun yang dimenangi oleh Parti Negara. Dibolot semua oleh Perikatan.

Beralih ke negeri Pahang, sekali lagi Perikatan menang besar. Negeri kelahiran Tun Abd Razak tidak mampu dicabar oleh parti lain. Pak Sako yang berada di Barisan Socialis tidak diterima oleh rakyat Pahang meskipun dia anak negeri tersebut.

Tinggal 2 negeri terakhir sebelum pemilihan DUN berakhir dan disambung pula dengan pemilihan Ahli Parlimen. Kelantan dan Terengganu. Dengan rekod yang hebat di negeri-negeri pantai barat. Ramai menjangka Kelantan dan Terengganu akan disapu oleh Perikatan.

Satu tamparan buat Perikatan dan satu kejutan yang maha dahsyat oleh semua rakyat Malaya apabila Terengganu berjaya menangkis sangkaan itu apabila berjaya mengalahkan Perikatan. Hanya 7 kerusi yang berjaya dimenangi oleh Perikatan dan 4 kerusi dimenangi oleh Parti Negara. PAS berjaya membentuk kerajaan negeri yang pertama bukan Perikatan dalam sejarah Malaysia. Mohamad Daud Samad dilantik menjadi Menteri Besar.

Kelantan menjadi negeri terakhir, tiba-tiba sahaja berbunga sedikit harapan para ahli PAS untuk melihat satu negeri lagi untuk ditawan oleh mereka. YA, rakyat Kelantan membenarkan harapan tersebut apabila PAS hanya kalah 2 kerusi sahaja di Kelantan dan membentuk kerajaan negeri.

PRU pertama ini secara keseluruhannya telah memberi kemenangan kepada Perikatan di 9 buah negeri dan PAS telah berjaya menawan 2 buah negeri. PRU 1959 boleh dikatakan antara sejarah PRU yang menarik untuk kita renungi.

Merenung sejarah ini membuatkan aku terfikir rahsia pemikiran orang Kelantan dan Terengganu yang berani membuat perubahan sejak demokrasi mula diimplementasikan di Malaysia.



No comments:

Post a Comment