Thursday 25 April 2013

Memoir Politik Kewartawanan Jilid 2 : PROPAGANDIS ZAMAN [Ulasan ringkas]




“Cina itu telah menyelamatkan saya tetapi saya tidak tahu nasibnya kerana kurang dari lima minit dia meninggalkan saya di Kampung Baru, rusuhan pun terjadi. Saya menyaksikan Kuala Lumpur terbakar disana sini dan merasai pengalaman terkurung di Kampung Baru sementara undang-undang berkurung dikuatkuasakan bagi membendung rusuhan perkauman.”- Subky Abd Latif

            Jilid ke-2 lebih menarik untuk diikuti. Bermula dengan kisah beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan percubaan di Utusan Melayu sehinggalah menjadi seorang pemberita yang terkemuka. Diberi kepercayaan untuk menulis rencana pengarang di ruangan akhbar melatih beliau menjadi seorang pemberita yang mempunyai ulasan yang kritis hingga akhirnya beliau keluar dari utusan dan menghasilkan akhbar sendiri seperti Suara Rakyat, Suara Merdeka, Watan dan beberapa majalah.
            Apa yang menarik dalam jilid ke-2 ini memuatkan lebih banyak ulasan politik yang jitu untuk
beberapa peristiwa penting yang berlaku pada masa tersebut. Antara yang menarik ialah ulasan beliau mengenai Konfrontasi “Ganyang Malaysia” oleh Presiden Sukarno yang disokong oleh Presiden Filipina. Apa yang menarik ialah idea gagasan Maphilindo yang bertujuan untuk membentuk satu pakatan Negara berkecuali dari blok barat sekaligus berkemampuan untuk menyaingi kuasa besar dunia ketika itu seperti Amerika, China dan Soviet Union. Turut dimuatkan idea pembentukan Negara Kesatuan Kalimantan Utara oleh AM Azahari untuk menyatukan Sarawak, Sabah dan Brunei membentuk satu Negara. Ternyata idea Azahari itu mendapat sokongan rakyat Brunei untuk menentang gagasan Malaysia ketika itu.
            Beliau juga turut mengulas isu-isu hangat seperti disebalik peristiwa 13 Mei apabila beliau terpaksa berkurung di Kampung Baru akibat rusuhan kaum yang berlaku ketika itu. Juga kisah mengenai Singapura dikeluarkan dari Negara Malaysia, Lee Kuan Yew saman utusan, GERAKAN ganti Dap dan pelbagai lagi dengan ulasan yang menarik.
            Pengalaman peribadi beliau juga turut dikongsikan dalam buku ini seperti pengalaman menjadi tetamu Jabatan Negara Amerika, mengikuti kursus kewartawanan di Berlin Barat, berkawan dengan menteri yang berpengaruh di Malaysia dan sebagainya yang mampu membuatkan kita tidak tidur malam untuk mengikuti kisah tersebut.
            Semoga ulasan ringkas ini mampu menarik minat kita untuk menjadikan buku ini bahan yang wajib dibaca. Dengan penggunaan bahasa yang mudah dan senang difahami maka buku ini amatlah sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Berbaloi untuk dibaca dan dikaji. Memberikan kita satu perspektif yang berbeza dari yang kita ketahui.
            Sambungannya iaitu Jilid ke-3 Memoir Politik Kewartawanan masih dalam pembikinan bertajuk “Manis-Manis Politik.”

No comments:

Post a Comment