Thursday 25 April 2013

Memoir Politik Kewartawanan Jilid 1 : ANAK APAK [Ulasan ringkas]




“Saya tidak pernah bercadang untuk menjadi seorang wartawan atau menjadikan dunia kewartawanan sebagai kerjaya dalam bidang hidup saya.” –Subky Abd Latif

Subky Abd Latif merupakan antara wartawan terkemuka sekitar abad 70-an. Memoir ANAK APAK secara umumnya mencerita suka duka hidup beliau sejak dari kecil sehinggalah beliau menjejakkan kaki dalam bidang kewartawanan di Utusan Melayu. Mengambil idea buku Hikayat Abdullah Munsyi yang telah menceritakan peristiwa pada zaman beliau maka begitulah juga objektif buku ini dihasilkan.
Berlatarbelakang zaman 50-an hingga 80-an, banyak peristiwa menarik yang diceritakan dalam buku ini antaranya perkongsian pengalaman hidup beliau dibawah perintah darurat akibat keganasan
komunis serta kehidupan beliau di Kg Sg Parit, Perak. Diselitkan juga kisah menarik beliau menjadi rakan sepermainan anak Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya yang telah dibuang negeri. Begitu juga kisah-kisah beliau dizaman sekolah, menyaksikan Angkatan Pemuda Insaf (API) berkawad, dan kisah pengembaraan beliau semasa kecil turut dimuatkan.
Memoir ini memberi bertajuk ANAK APAK iaitu panggilan beliau terhadap ayahnya yang mahu menjadikan beliau seorang ulama. Namun, gara-gara kejatuhan harga getah di pasaran yang menjadi sumber utama keluarga beliau telah membantut hasrat Apak untuk menghantar dia ke sekolah pondok lantaran Perang Korea yang berlaku awal 50-an.
Memoir ini juga turut memuatkan ulasan politik peristiwa penting yang berlaku ketika beliau masih remaja seperti peristiwa kemerdekaan tanah Malaya, pilihanraya 1957 dan pilihanraya umum 1959, pengalaman beliau berorganisasi dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi serta beberapa lagi isu menarik yang mesti dibaca oleh para ulat buku.
Memoir ini mampu memberikan kita generasi abad ke-21 sedikit gambaran mengenai perjalanan kehidupan rakyat Malaya dizaman era kemerdekaan. Juga membuka mata kita untuk menilai satu ulasan politik yang lain daripada yang lain untuk kita renungi dan kembali berfikir hakikat sejarah tanah Melayu suatu ketika dahulu.

No comments:

Post a Comment