Saturday 27 April 2013

28 April 2013. Ubah ! Ini Kalilah !!





Ahad, 28 April 2013. Tercatat satu sejarah dalam hidup ini. Ya, hari pengundian pos untuk PRU 13. Pengalaman kali pertama mengundi menjadikan diri ini sedikit excited ditambah pula dengan kemungkinan untuk berlaku perubahan dalam negara Malaysia. Menumbangkan rejim yang zalim, kita bangunkan kerajaan yang adil dan saksama.


Barisan Nasional atau dahulunya dikenali sebagai Perikatan sudah 55 tahun menguasai persada politik Malaysia dilihat kini ibarat telur dihujung tanduk. Menunggu saat ditiup angin lalu rebah pecah ke Bumi. 58 tahun negara ini dibawah pemerintahan mereka namun hanya kemajuan zahiriah yang dibanggakan sedang rakyat terus melarat dikala para penguasa terus rakus membolot keuntungan untuk kroni dan diri sendiri.

Pilihanraya Umum 1999

Sepanjang hidup ini boleh dikatakan 3 kali saya mengalami pengalaman pilihanraya umum Malaysia. Bermula dengan PRU 1999. Ketika itu, saya baru berumur 9 tahun. Naif dan dhaif mengenai politik semasa. Namun, masih terngiang ditelinga ini peristiwa hangat bersejarah reformasi oleh DS Anwar Ibrahim. Umur sebegitu muda, apa lah yang difahami sangat mengenai politik. Cuma, yang saya pasti, ahli keluarga ketika itu begitu marah akan kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan barisan terhadap Anwar Ibrahim. Melemparkan tuduhan liwat ke atas beliau sehingga terperingkuk pejuang negara itu ke dalam penjara. Saya ? memang tak faham apa-apa.

Yang saya tahu, setiap masa mengekori ayah berkempen. Saya tidak pernah minta untuk ikut tapi memang ayah akan bawa. Ke markaz cawangan PAS Beranang ketika itu di perkampungan belakang SK Beranang, Selangor. Apa yang mereka bincangkan, memang saya tak ambil kisah. saya sekadar bermain-main ditepi markaz itu bersama kanak-kanak yang lain. Peristiwa yang saya ingati ialah kehadiran seorang cina di markaz tersebut. Saya yang masih kebudak-budakan ketika itu terasa pelik dengan kehadiran beliau. "Apa pula mamat cina ni buat kat sini, inikan tempat PAS. Islam punya," bisik hati kecilku. Selepas habis mesyuarat, saya bertanya pada ayah mengenai lelaki tersebut. Ayah cakap dia penyokong DAP dalam Barisan Alternatif. DAP bersama PAS, Parti Keadilan serta Parti Rakyat Malaysia untuk menumbangkan Barisan Nasional. Saya sekadar mengangguk. Sukar untuk saya memahami dalam usia sekecil itu mengenai politik semasa.

Apapun, saya tetap setia bersama ayah ke ceramah PAS, markaz pilihanraya, turun berkempen rumah ke rumah malahan saya yang membantu ayah menampal poster calon DUN Beranang, Selangor. Beberapi hari kemudian, saya melalui tempat saya dan ayah menampal poster tersebut. Saya lihat poster tersebut telah dicarikkan dan digantikan oleh poster calon BN. Oh, sedih sungguh hati kerdil ini melihat usaha saya dan ayah itu dirosakkan. Saya lantas mengadu pada ayah. Ayah sekadar mengangguk dan berkata, "dorang memang macam tuh."

Apabila saya mengikuti ibu pulang sebentar ke Kelantan. Saya sempat melihat suasana pilihanraya di sana. Anak-anak muda berkonvoi sekeliling kampung membawa bendera PAS. Kanak-kanak seusia saya memakai topi PAS dan sebagainya. Oh, sungguh teruja rasa melihat kemeriahan tersebut. Pilihanraya Umum 1999 merupakan antara kejutan apabila PAS kekal berkuasa di Kelantan malahan berjaya merampas Terengganu dari penguasaan Barisan Nasional.


Pilihanraya Umum 2004

Pilihanraya Umum 2004 berlangsung ketika saya di sekolah menengah. SBP Integrasi Batu Rakit, Terangganu. Ketika itu saya berada dalam tingkatan 2. Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Tun Mahathir apabila beliau meletakkan jawatan. Disebabkan saya ketika itu masih disekolah asrama penuh menyebabkan saya tidak dapat menyertai pilihanraya seperti mana saya sertai dahulu. Berumur 14 tahun, saya mula memahami konsep politik yang dibawa oleh PAS iaitu sebuah parti bertunjangkan agama. Penegakan undang-undang islam dan hudud menjadi perkara utama yang dibawa oleh PAS. Disebabkan saya lahir dari ahli keluarga yang menyokong PAS menyebabkan pemahaman yang dibawa oleh PAS mudah menyerap ke dalam diri. Namun, tidak dinafikan bahawa sokongan saya pada PAS bertunjangkan konsep agama yang dibawa oleh parti tersebut tanpa saya memahami konsep kenegaraan dan kepimpinan.

PRU ke - 11 tahun 2004 melihat lahirnya idea "Islam Hadhari" diasaskan oleh PM ketika itu, Pak Lah. Pelbagai hujah digunakan pembangkang untuk menolak konsep tersebut. Antara yang saya ingat ialah kesalahan penggunaan istilah. Sepatutnya "Hadharah Islamiah" bukannya "Islam Hadhari." Ditambah pula dengan idea tersebut dilihat seolah-olah hanya idea tanpa ada pembuktian zahirah untuk meyakinkan rakyat mengenai pelaksanaannya. Saya hanya mengikuti perjalanan pilihanraya tersebut melalui akhbar nasional dan cerita-cerita dari guru dan rakan-rakan.

PRU 2004 memberi tamparan kepada PAS. Bukan setakat kehilangan Terengganu ke tangan barisan. Malah, kerajaan PAS di Kelantan hanya mampu mempertahankan penguasaan mereka dengan hanya berkelebihan satu kerusi DUN sahaja. Satu kejutan buat pembangkang ! Dilihat pada ketika itu seolah-olah idea Islam Hadhari yang dibawa oleh Pak Lah berjaya mendapat sambutan masyarakat. Saya pada ketika itu yang masih kurang memahami realiti politik berasa tergamam dengan keputusan tersebut. Rakan-rakan sebaya yang kebanyakan berasal dari Terengganu juga terkejut apabila negeri mereka terlepas kepada parti barisan nasional. Sedikit yang menjadi kebanggaan saya apabila membaca kata-kata Tuan Guru Nik Abd Aziz yang berbunyi "saya akan mempertahankan kerajaan PAS di Kelantan walaupun berbeza satu kerusi." Ya, tidak dinafikan ketika itu tekanan diberikan oleh barisan nasional terhadap beliau kerana dilihat kepimpinan tok guru seperti sudah ditolak oleh rakyat Kelantan. Syukur, sekurang-kurangnya Kelantan masih KEKAL ! Walaubagaimanapun, pilihanraya tersebut jelas memberi pengajaran besar kepada PAS. Parti tersebut ketika itu yang memilih untuk bersendirian dan tidak membentuk Barisan Alternatif seperti sebelum ini jelas merupakan satu tindakan politik yang silap. Namun tidak dinafikan, tindakan tersebut berpunca dari sikap pimpinan UMNO yang habis-habisan melaga-laga antara kedua-dua parti tersebut.


Pilihanraya Umum 2008

PRU 2008. Apa yang menyedihkan saya adalah kerana ketika berlangsungnya PRU ke-12 ini. Saya terkandas di Kem Latihan Khidmat Negara, Taman Etnobotani Gua Musang. Peluang saya untuk kembali berkempen seperti yang pernah dilakukan pada PRU 1999 terlepas. Ditambah pula, sumber maklumat dalam kem tersebut hanya bergantung pada Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3, RTM dan lain-lain lagi media kerajaan yang bias pada parti pemerintah. Terasa hendak menangis apabila membaca kenyataan akhbar dan pimpinan UMNO membidas Tuan Guru Nik Abd Aziz apabila isu "orang utan" dimainkan oleh mereka. Saya masih ingat ketika itu (berdasarkan Utusan Malaysia) TGNA menyatakan "Sesiapa yang menolak Islam dan hudud ini seperti orang utan. Orang utan hidup tanpa hudud." Apa lagi, bertubi-tubi serangan diberi oleh UMNO kepada beliau. Saya ketika itu yang tidak mampu mendapatkan sumber berita alternatif hanya mengeluh.

Pernah sekali, kami anak-anak Kelantan di kem tersebut beramai-ramai bincang mengenai kekuatan PAS untuk memenangi PRU kali ini. Masing-masing sekadar mengeluh dan menggelengkan kepala. Jelas dimata mereka seolah-olah tiada harapan untuk PAS kekal menawan Kelantan. Kekalahan sudah tertanam dalam sanubari masing-masing. Akhirnya, salah seorang dari kami menyeru supaya memperbanyak doa dan solat hajat semoga yang batil tetap dikalahkan.

Malam tersebut, ramai peserta kem berkumpul di bilik TV bagi melihat keputusan pilihanraya. Perkara pertama yang mengejutkan kami apabila Dato Seri Azizan Razak diumumkan sebagai Menteri Besar Kedah yang baru dari PAS. Allahuakbar !!! Saya tergamam, tak sangka dengan keputusan tersebut. Kelantan kekal malah berjaya menang besar tidak seperti PRU 2004. Saya tersenyum lebar. Ternyata telahan kami sebelum ini tersalah. Saya memeluk dengan penuh gembira seorang rakan saya yang juga penyokong PAS. Kemudian, dikejutkan lagi dengan kemenangan DAP dan berjaya membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang.

Diberitakan pula kejatuhan kerajaan Barisan Khir Toyo di Selangor. Rakan-rakan saya yang berasal dari Selangor terkejut dengan keputusan tersebut. Kebanyakkan mereka merupakan penyokong Barisan Nasional. Tan Sri Khalid Ibrahim diangkat menjadi Menteri Besar. Dan yang terakhir Perak, DAP berjaya memenangi kerusi terbanyak dan layak membentuk kerajaan negeri. Namun, undang-undang tubuh kerajaan Perak mewajibkan Menteri Besar dari kalangan Melayu. Ia memberi sedikit masalah untuk DAP. Saya masih ingat, ketika itu saya duduk bersebelahan seorang rakan saya dari Perak. Beliau penyokong PAS dan berharap PAS berjaya menawan Perak. Tapi, apabila berita melaporkan sebaliknya, ayat yang terkeluar dari mulut beliau, "mampuslah cina perintah Perak pasni."

Saya hanya tersenyum simpul mendengar telahan beliau. Bagi saya, tiada masalah dengan pemerintahan DAP yang adil dan saksama daripada pemerintahan BN yang zalim dan penuh korupsi. Keesokan harinya barulah kami mendapat berita Ir Nizar Jamaluddin dari PAS akan diangkat sebagai Menteri Besar Perak. Sekali lagi saya tersenyum kegembiraan sambil mengucapkan kesyukuran. Peristiwa kejatuhan kerajaan DAP di Perak oleh barisan nasional merupakan antara sejarah paling keji dalam Malaysia. Bagaimana demokrasi akhirnya telah dicarik-carik dan diludah oleh parti Barisan Nasional yang lasngsung tidak tahu menghormati undang-undang demokrasi yang diamalkan oleh negara kita. Sungguh saya begitu emosi dengan peristiwa tersebut. Sangat mengharapkan agar barisan nasional segera jatuh diatas apa yang telah mereka lakukan.

Malam itu sebelum tidur, rakan-rakan sebilik dengan saya yang rata-ratanya penyokong BN mengucapkan tahniah atas kemenangan PAS. Kata mereka, "sukalah hadi tuh PAS menang besar." Saya hanya tergelak sahaja dengan kata-kata tersebut. Tapi, jauh disudut hati, saya sedikit terkilan kerana tidak dapat bersama rakyat marhaen diluar sana untuk meraikan dan mensyukuri kemenangan tersebut. Lebih terkilan lagi apabila saya tidak dapat membantu mereka turut berkempen untuk menjatuhkan kezaliman BN.


Pilihanraya Umum 2013


PRU 13. Saya berada pula di Jordan. Sekali lagi saya terkilan apabila tidak dapat berada di Malaysia mengharungi perit jerih berkempen untuk kemenangan Pakatan Rakyat. Hanya PRU 1999 sahaja saya sempat merasai pengalaman tersebut tapi ketika itu saya masih buta mengenai politik. Disaat diri ini sudah celik sedikit mengenai politik. Saya tidak diizinkan oleh Allah untuk bersama-sama para pejuang di Malaysia. Namun, dengan adanya undian pos pada PRU kali ini. Saya mendaftarkan diri, meskipun ketelusannya sedikit diragui dalam hati kecil saya tetapi saya yakin berkat doa rakyat Malaysia dan semua pejuang. Andainya mereka merancang untuk memanipulasikan undi ini, mereka terlupa bahawa perancangan Allah itu lebih agung. Kebatilan tidak akan selamanya tertegak kerana keadilan itu fitrah yang disukai oleh hati nurani manusia

Dengan teknologi yang berkembang pesat masa ini. Saya menggunakan wadah yang ada seperti blog ini menyeru agar para pembaca mari kita Ubah dan Tukar Malaysia ! Cukuplah sudah segala kezaliman dan penindasan oleh kerajaan parti Barisan Nasional. Korupsi, politik wang, kronisme dan sebagainya sudah cukup perit dirasai oleh rakyat. CUKUPLAH ! Hentikanlah mereka dari terus membolot kekayaan negara untuk kroni dan keuntungan sendiri. Membiarkan rakyat terus merempat hidup melarat.

YA ALLAH, tumbangkanlah kezaliman. Tegakkanlah keadilan ! Aminn
UBAH ! INI KALILAH !!!!!!


1 comment: